Friday, June 22, 2012

Nasihat Apek kepada Nazmi




KOTA BHARU: Individu yang menjadi perhatian tidak terlepas daripada gosip dan kontroversi, namun terpulang kepada individu itu untuk menanganinya.
Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, berkata, gosip dan kontroversi lumrah dan perlu dihadapi dengan tenang dan bijak.
Katanya, apa yang penting, fokus kepada kerjaya dan bekerja keras supaya prestasi tidak terjejas.
“Tak perlu dihiraukan jika menjadi mangsa gosip dan kontroversi. Terus fokus dan bekerja keras demi kerjaya lebih cemerlang.
“Saya juga pernah berdepan gosip dan kontroversi tetapi mengambil pendekatan tumpu kepada kerjaya,” katanya.
Khairul Fahmi atau terkenal dengan panggilan Apek berkata demikian sebagai mengulas gosip yang melanda bintang muda bola sepak negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor,17. Metro Ahad pada 17 Jun lalu melaporkan, Nazmi yang baru saja menandatangani kontrak lumayan dengan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar digelar ‘playboy’ di kalangan pengkritiknya apabila gambarnya bersama beberapa gadis yang didakwa teman wanitanya tersebar meluas di Internet.
Bagaimanapun, Nazmi menafikan dia ‘playboy’ dan tidak mahu melayan sebarang gosip atau kontroversi membabitkan dirinya. Menurut Khairul Fahmi, dia memahami keadaan dihadapi Nazmi dan berharap Nazmi beri tumpuan kepada kerjaya.
“Saya tidak mahu mencampuri urusan peribadi orang lain, namun demi kepentingan kerjayanya, diharap Nazmi tumpu kepada tugasnya sebagai pemain bola dan tidak menghiraukan gosip. Dia masih muda dan mampu mencipta banyak kejayaan dalam persada bola sepak negara,” katanya.


Pecah rumah kumpul duit nak kahwin

NIBONG TEBAL – Siapa sangka usaha keras seorang lelaki bekerja siang malam mengumpul wang untuk ke jinjang pelamin dua minggu lalu rupa-rupanya diperoleh hasil daripada 58 kegiatan pecah rumah sejak dua tahun lalu.


Tembelang pengantin baharu itu pecah setelah suspek bersama seorang lagi rakannya dicekup polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada Ahad lalu berikutan kes-kes pecah rumah di daerah ini, Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah.


Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, kedua-dua sahabat itu ditahan selepas polis menemui bukti mengaitkan pembabitan mereka dalam kes-kes pecah rumah yang dilaporkan sejak awal tahun lalu.


Menurut beliau, suspek pertama berusia 26 tahun yang baru dua minggu berkahwin ditahan di rumahnya di Sungai Duri pukul 5 pagi manakala rakannya berusia 23 tahun ditahan di rumahnya di Parit Kasa pukul 11 malam.


“Jarak antara rumah kedua-dua suspek itu adalah 22 kilometer dan mereka dipercayai sudah bersahabat sejak sekian lama,” kata beliau.


Menurut beliau, suspek pertama itu mengaku dia melakukan kes-kes pecah rumah sejak dua tahun untuk mengumpul wang bagi majlis pernikahannya yang berlangsung kira-kira dua minggu lalu.


Sampah belit tayar motor

SEGAMAT: Plastik sampah yang dibuang menerusi tingkap sebuah kereta nyaris meragut nyawa seorang mekanik apabila ia membelit tayar motosikal hingga menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas jalan raya di Jalan Genuang Segamat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Fakrul Imaran Idris, 18, nyaris digilis sebuah lori dari belakang.

Tanpa sebarang simpati, pemandu kereta yang membiarkan penumpang melemparkan bungkusan sampah itu, memecut ke arah pusat bandar ini meskipun menyedari mangsa terjatuh.

Fakrul Imaran berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Segamat Baru untuk pulang ke rumah di Jalan Temenggung.

Selepas persimpangan lampu isyarat di hadapan Bank OCBC, dia mengekori sebuah Perodua Kancil merah dan ketika mahu membelok ke kiri, tiba-tiba sebuah beg plastik sampah dicampak keluar penumpang depan sebuah kereta.

“Saya terkejut dan cuba mengelak tetapi plastik sampah yang panjangnya kira-kira satu meter terkena tayar hadapan sebelum membelit rim hingga menyebabkan motosikal saya terhenti dan saya tercampak.

“Sejurus jatuh terlentang atas jalan, saya terdengar bunyi hon lori sayur dari belakang. Meskipun kesakitan, saya berusaha merangkak ke bahu jalan bagi mengelak digilis lori sebelum dibantu orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Fakrul berkata, pemandu kereta itu pada mulanya kelihatan mahu berhenti berdasarkan lampu brek belakang menyala tetapi terus memecut sejurus terdengar bunyi hon lori sayur.

Akibat kejadian itu, dia menanggung kerugian RM200 kerana motosikalnya mengalami kerosakan lampu hadapan, cermin sisi, lampu isyarat membelok serta kos perubatan.

“Saya diberi cuti sakit tiga hari akibat kecederaan dan luka di tangan serta kaki kiri,” katanya sambil menambah sampah dalam bungkusan plastik itu terdiri daripada pembalut coklat dan gula-gula, kotak rokok serta tisu terpakai.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat (MDS), Ismail Abu, berkata perbuatan membuang sampah melalui kenderaan di tempat awam boleh dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM250.

Wednesday, June 13, 2012

Perogol beri nasihat lepas rogol 2 kali

Kuala Lumpur - Seorang wanita berusia 25 tahun bukan sahaja dirogol seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Sungai Pelek, Sepang, malah turut doberikan nasihat oleh suspek supaya mengunci jeriji rumah bagi mengelakkan diceroboh lelaki lain dalam kejadian Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pisau pada mulanya berniat merompak rumah berkenaan, namun mengubah niatnya dengan merogol wanita berkenaan sebanyak dua kali dipercayai selepas terpikat melihat wajah mangsa.

Malah, selepas merogol mangsa, suspek yang berusia 20-an turut memaksa wanita itu menyerahkan nombor telefon bimbitnya dengan alasan mahu menghubungi mangsa selain dipercayai akan kembali ke rumah berkenaan.

Sumber polis berkata, ketika kejadisn, mangsa dikatakan tidur bersendirian dalam bilik si rumahnya sebelum terjaga apabila dikejutkan lelaki tidak dikenali.

"Mangsa pada mulanya mahu menjerit, namun diugut oleh lelaki itu supaya diam jika tidak mahu dicederakan kerana suspek membawa sebilah pisau yang diacukan pada badan mangsa.

"Suspek juga dikatakan menutup muka mangsa dengan tudung selain mengikat kedua-dua tangan wanita itu bagi memudahkan rompakan," katanya, semalam.

Menyebabkan kematian Koperal Mustaghni, seorang anggota trafik ditahan



Klang: Polis menahan reman seorang anggota polis trafik berusia 51 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan kes kematian Koperal Mustaghni Tabri, 48, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota trafik yang direman itu berpangkat koperal yang disyaki membaling satu objek ke arah mangsa.

Arwah Mustaghni terbabit dalam insiden itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu.

“Dia direman bermula hari ini (semalam) sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes.

“Empat lagi anggota yang ditahan bersamanya kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam.

Ditanya berhubung perkembangan siasatan terhadap beberapa objek yang dirampas polis dari lokasi kejadian, Mohamad berkata, semua objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia, esok.

“Kita belum boleh dedahkan apa-apa maklumat berhubung objek itu selagi laporan siasatan mengenainya belum selesai.” katanya.

Kelmarin, lima anggota polis ditahan jam 4 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar mat rempit sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, dipetik berkata, punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar tetapi akibat terkena lontaran objek keras.


“Siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek bagi membongkar kejadian sebenar, termasuk kemungkinan ia dilakukan untuk mempertahankan diri atau terkena pada mangsa.

“Kami merampas beberapa objek yang dipercayai boleh membantu siasatan dan harap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya, semalam. -MA

Wajah bertukar menjadi ngeri setelah dirakam






IPOH – Seorang pemandu lori tidak sangka gambar yang dirakam untuk kenangan menjadi sebaliknya apabila muncul lembaga berambut panjang menggantikan wajah adiknya.

Menceritakan kejadian pada malam Jumaat minggu lalu, La’aba Lata, 38, berkata, gambar tersebut dirakam atas permintaan adiknya, Belly Lata,22, untuk mengabadikan perkataan ‘IPOH’ sebelum pulang ke Sabah.

Menurutnya, gambar tersebut dirakam pada jam 9.30 malam di Jalan Kuala Kangsar bersebelahan dengan Kawasan Pelancongan dan Rekreasi Gunung Lang.

“Ketika merakamkan gambar, saya tidak nampak apa-apa namun, ketika Belly memeriksa kamera digital dalam kenderaan, dia terus menjerit sambil kata tidak mahu lihat lagi.

“Mulanya saya berasa pelik.

Setelah melihat dengan mata sendiri, kami lihat lembaga perempuan berambut panjang seolah-olah mahu terkam adik.

“Dalam gambar itu, wajah adik tidak kelihatan langsung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

La’aba berkata, mereka juga turut diganggu sepanjang malam selepas tiba di rumah di Taman Chepor Impian.

“Saya pernah dengar kawasan tersebut tidak sesuai untuk anak-anak kecil kerana sering diganggu sehingga menangis tapi tak sangka, saya pula yang terkena.

“Namun, malam tersebut, rumah kami pula diganggu dengan bunyi orang berjalan di atas bumbung selain bunyi orang buka pintu. Nasib baik, kami diganggu malam itu sahaja,” katanya.

Katanya, semua rakan yang melihat gambar tersebut berasa terkejut dengan imej wajah lembaga tersebut yang jelas kelihatan apabila dibesarkan.

Tuesday, June 5, 2012

Tiga naik satu motor mati dilanggar

LANGKAWI: “Anak saya sempat menelefon ibunya sebelum kemalangan ngeri itu, namun panggilannya terputus selepas dirempuh van berkenaan.”
Begitu kata Ridzuan Abdul Rahman, 41, bapa Nur Afipah Ainaa, 16, seorang daripada tiga pelajar yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong dalam kemalangan di simpang lampu isyarat di Kampung Padang Gaung, Langkawi, semalam.

Kejadian berlaku jam 12 tengah malam menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas van terbabit gagal mengelak motosikal dinaiki mereka yang cuba melakukan pusingan U.
Ridzuan berkata, Nur Afipah bersama rakannya, Nor Hazwani Mansor, 16, membonceng motosikal ditunggangi Yasmin Johari, 17, menghubungi isterinya, Rohana Abdul Hamid, 38, beberapa saat sebelum kejadian. “Selepas panggilan terputus, isteri saya cuba menghubunginya, namun gagal menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya.

Menurutnya, perasaan itu ternyata benar selepas dimaklumkan abang kembar Nur Afipah, Mohd Afiq Akmal, 16, bahawa adiknya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.

Ridzuan berkata, lebih memilukan apabila dia mengetahui kejadian menimpa Nur Afipah daripada Mohd Afiq Akmal sedangkan lokasi kemalangan berkenaan hanya 100 meter daripada rumah mereka di Taman Medan Berjaya di Langkawi.

Katanya, apabila mendapat tahu anaknya maut dalam kemalangan itu, dia mengalirkan air mata sejurus mengenangkan hasrat arwah mahu menghadiahkan rumah kepada mereka beberapa jam sebelum kejadian.

“Anak saya seorang periang dan terlalu rapat dengan kami termasuk kembar lelakinya yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur.
“Saya mempunyai dua anak dan selepas ketiadaannya, hanya tinggal anak lelaki yang sentiasa mengingatkan saya kepada arwah,” katanya.

Jenazah Nur Afipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kuah, manakala dua rakannya masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penghulu dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelibang, Langkawi.

2 peragut diberkas atas motor

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga bulan aktif melakukan pelbagai jenayah ragut dan pecah kereta sekitar Cheras, dua penganggur warga tempatan berumur 20 hingga 30-an diberkas polis ketika menunggang motosikal di Taman Cheras, di sini.
Kedua-dua mereka ditahan pada jam 12 tengah malam 12 Mei lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hasil maklumat awam serta intipan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera digital, dua Smart Tag, jam tangan pelbagai jenis dan sebuah motosikal Yamaha yang dipercayai hasil daripada kegiatan ragut dan pecah kereta.
“Hasil siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat sekiranya suspek terbabit sama aktiviti pecah rumah di Cheras.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda,” katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohan Singh berkata, polis menahan dua pengawal peribadi yang terbabit pergaduhan di sebuah kelab berhampiran Jalan Pudu, di sini, yang mengakibatkan seorang jurujual cedera di kepala akibat dihentak menggunakan pistol, Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek yang berumur 37 dan 45 tahun itu melepaskan dua das tembakan ketika ingin melarikan diri dan kini direman sehingga 6 Jun bagi membantu siasatan.

“Walaupun seorang daripada suspek mempunyai lesen senjata api, tetapi perbuatannya yang mencederakan orang serta melepaskan tembakan di kawasan awam salah di sisi undang-undang. “Tiada kehilangan nyawa dicatatkan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pistol yang digunakan suspek dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Konsert legasi melodi Sudirman



SELALU diperkatakan orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah yang dapat kita gambarkan kepada legasi tinggalan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad - seniman yang sudah 20 tahun meninggalkan alam ini.
Sampai ke hari ini, pemergian anak seni hebat kelahiran Temerloh, Pahang itu masih tiada duanya. Bukan saja keunikan lagu popularnya yang terus menjadi siulan, malah semangat patriotisme yang terserlah dalam diri insan bertubuh kecil itu.

Sebagai memenuhi janji kepada peminat, Konsert Kenangan Sudirman sempena Kempen akuSUDIRMAN berjaya dianjurkan Astro, malam kelmarin.

Bertempat di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur, ribuan peminat hadir bagi menyaksikan nama besar dalam bidang seni tanah air menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Sudirman.


Suasana 1Malaysia tergambar dalam stadium itu, apatah lagi ada di antara peminat yang menggayakan kostum Jalur Gemilang yang pernah menjadi ‘trademark’ Sudirman dulu.

Barisan artis yang meluangkan masa adalah Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Alyah, Misha Omar, Ziana Zain, Rahim Maarof, Hujan, Azlan & The Typewriter, Hafiz, Hazama, Adira, Altimet (dengan DJ Fuzz & Ila Damia), Faris Awan Band dan barisan pelakon filem muzikal Hoore! Hoore!

Tidak ketinggalan, penampilan pelawak Os & Abon (Osbon) yang mencuit hati serta pengacara Datuk AC Mizal dan Aznil Nawawi.

Persembahan paling mencuri perhatian ramai dan memukau penonton malam itu sudah pasti penampilan Siti yang juga peminat setia Sudirman.

“Allahyarham Datuk Sudirman adalah penghibur legenda yang perlu kita hargai.
Malam ini, Siti dan rakan artis ingin mengenang jasa beliau dalam bidang seni terutama kepada generasi muda atau adik-adik kita yang belum cukup kenal siapa Sudirman.

“Kebetulan Siti juga dibesarkan di tempat kelahiran yang sama dengan Sudirman iaitu Temerloh. Siti pilih untuk sampaikan lagu yang cukup istimewa yang menggambarkan keprihatinannya terhadap golongan penganggur,” kata Siti.

Selain lagu medley rancak, Aku Penganggur dan Baru Dapat Kerja, Siti menyentuh jiwa penonton dengan melodi Jauh Di Sudut Hati. Gandingan duet dengan Hafiz menerusi Bimbang Terluka Lagi juga satu kombinasi menarik dan mendapat tepukan gemuruh.

Hafiz sendiri memang tidak pernah menghampakan apabila di pentas dan malam itu, dia secara solo menyanyikan salah sebuah lagu terhebat Sudirman, Pelangi Petang.

Persembahan lain yang menyerlah termasuk Jaclyn menerusi lagu One Thousand Million Smiles, Misha (Hujan), Alyah (Bila Wajahmu Aku Bayangkan), Ziana (Terasing) dan Datuk Khadijah (Kasih). Semua memberikan persembahan terbaik mereka.

Selain Hafiz, persembahan artis lelaki lain yang cukup mantap malam itu adalah Juara Versus 2012, Noh dan Hujan, melalui lagu Toyol dan Salam Terakhir, Juara AF9 Hazama (Antara Hujan dan Air mata) dan Azlan (Milik Siapakah Gadis Ini dan Idola).

Artis lain yang turut menghiburkan penonton adalah Adira (Merisik Khabar), Altimet (Punch Card) serta Rahim Maarof (medley Dir dan Aku Penghibur).

Tidak kurang menariknya persembahan artis baru filem muzikal Hoore! Hoore! yang menyampaikan lagu rancak mereka.

Dalam pada itu, suasana menjadi sayu seketika apabila anak saudara Sudirman, Atai, tampil ke pentas menyampaikan sebuah lagu sedih berjudul Dia Tiada Lagi. Atai mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan suaranya juga merdu.

Secara keseluruhan, persembahan artis dan pengisian konsert Kenangan Sudirman berjaya mencapai objektifnya terutama dalam mengajak peminat pelbagai kaum dan usia datang beramai-ramai untuk ‘bersatu dan berhibur’.

Usaha Astro seharusnya dipuji dalam mengangkat martabat muzik tanah air, sekali gus melontarkan penghormatan yang unik kepada insan berjasa seperti Sudirman.

Harian Metro yang terbabit sebagai rakan media bagi semua acara di bawah kempen akuSUDIRMAN, turut berbangga dengan sambutan yang diberikan masyarakat untuk konsert itu.

Bagi hiburan peminat di luar Kuala Lumpur, konsert Kenangan Sudirman itu juga ke udara secara langsung di Astro Prima (Saluran 105).

Amah nyaris jatuh tingkat 12 - Phewwwww

SINGAPURA: Tiga penduduk berjaya menyelamatkan nyawa pembantu rumah Indonesia dengan memegang tangan dan kaki wanita itu daripada terjatuh dari bangunan 12 tingkat.
Kejadian 40 minit itu berlaku di Blok 550, Woodlands Drive 44, semalam.
Tidak diketahui apa yang Nuraini, 29, lakukan apabila jatuh dari flat lima bilik kira-kira jam 10 pagi.

Dia bernasib baik kerana sempat berpaut kepada tempat sidai kain di bawah dan jeritannya menarik perhatian jiran di tingkat 11.

Seorang jiran, Louis Chan berkata, isterinya sedang tidur di bilik tidur utama apabila dia mendengar jeritan minta tolong.

Dia melihat di luar tingkap dan nampak pembantu rumah itu bergantung di tiang penyokong di atas flat.

Dia segera memanggil suaminya untuk membantu pembantu rumah itu dan dia segera cuba menyokong dengan menolak sebelah kakinya ke atas.

Menurut akhbar TNP, majikannya, seorang wanita, turut membantu menarik pembantu rumah itu dari tingkat 12.

Bagaimanapun, pembantu rumah itu terlepas pegangan daripada tiang dan terjatuh kepala ke bawah untuk kira-kira lima minit.

Hanya pegangan Chan saja yang menghalang dia daripada jatuh ke bawah.

Pada waktu yang sama, isteri Chan keluar meminta bantuan daripada jiran mereka, Ong, di tingkat 11. - Straits Times