Tuesday, June 5, 2012

Konsert legasi melodi Sudirman



SELALU diperkatakan orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah yang dapat kita gambarkan kepada legasi tinggalan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad - seniman yang sudah 20 tahun meninggalkan alam ini.
Sampai ke hari ini, pemergian anak seni hebat kelahiran Temerloh, Pahang itu masih tiada duanya. Bukan saja keunikan lagu popularnya yang terus menjadi siulan, malah semangat patriotisme yang terserlah dalam diri insan bertubuh kecil itu.

Sebagai memenuhi janji kepada peminat, Konsert Kenangan Sudirman sempena Kempen akuSUDIRMAN berjaya dianjurkan Astro, malam kelmarin.

Bertempat di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur, ribuan peminat hadir bagi menyaksikan nama besar dalam bidang seni tanah air menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Sudirman.


Suasana 1Malaysia tergambar dalam stadium itu, apatah lagi ada di antara peminat yang menggayakan kostum Jalur Gemilang yang pernah menjadi ‘trademark’ Sudirman dulu.

Barisan artis yang meluangkan masa adalah Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Alyah, Misha Omar, Ziana Zain, Rahim Maarof, Hujan, Azlan & The Typewriter, Hafiz, Hazama, Adira, Altimet (dengan DJ Fuzz & Ila Damia), Faris Awan Band dan barisan pelakon filem muzikal Hoore! Hoore!

Tidak ketinggalan, penampilan pelawak Os & Abon (Osbon) yang mencuit hati serta pengacara Datuk AC Mizal dan Aznil Nawawi.

Persembahan paling mencuri perhatian ramai dan memukau penonton malam itu sudah pasti penampilan Siti yang juga peminat setia Sudirman.

“Allahyarham Datuk Sudirman adalah penghibur legenda yang perlu kita hargai.
Malam ini, Siti dan rakan artis ingin mengenang jasa beliau dalam bidang seni terutama kepada generasi muda atau adik-adik kita yang belum cukup kenal siapa Sudirman.

“Kebetulan Siti juga dibesarkan di tempat kelahiran yang sama dengan Sudirman iaitu Temerloh. Siti pilih untuk sampaikan lagu yang cukup istimewa yang menggambarkan keprihatinannya terhadap golongan penganggur,” kata Siti.

Selain lagu medley rancak, Aku Penganggur dan Baru Dapat Kerja, Siti menyentuh jiwa penonton dengan melodi Jauh Di Sudut Hati. Gandingan duet dengan Hafiz menerusi Bimbang Terluka Lagi juga satu kombinasi menarik dan mendapat tepukan gemuruh.

Hafiz sendiri memang tidak pernah menghampakan apabila di pentas dan malam itu, dia secara solo menyanyikan salah sebuah lagu terhebat Sudirman, Pelangi Petang.

Persembahan lain yang menyerlah termasuk Jaclyn menerusi lagu One Thousand Million Smiles, Misha (Hujan), Alyah (Bila Wajahmu Aku Bayangkan), Ziana (Terasing) dan Datuk Khadijah (Kasih). Semua memberikan persembahan terbaik mereka.

Selain Hafiz, persembahan artis lelaki lain yang cukup mantap malam itu adalah Juara Versus 2012, Noh dan Hujan, melalui lagu Toyol dan Salam Terakhir, Juara AF9 Hazama (Antara Hujan dan Air mata) dan Azlan (Milik Siapakah Gadis Ini dan Idola).

Artis lain yang turut menghiburkan penonton adalah Adira (Merisik Khabar), Altimet (Punch Card) serta Rahim Maarof (medley Dir dan Aku Penghibur).

Tidak kurang menariknya persembahan artis baru filem muzikal Hoore! Hoore! yang menyampaikan lagu rancak mereka.

Dalam pada itu, suasana menjadi sayu seketika apabila anak saudara Sudirman, Atai, tampil ke pentas menyampaikan sebuah lagu sedih berjudul Dia Tiada Lagi. Atai mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan suaranya juga merdu.

Secara keseluruhan, persembahan artis dan pengisian konsert Kenangan Sudirman berjaya mencapai objektifnya terutama dalam mengajak peminat pelbagai kaum dan usia datang beramai-ramai untuk ‘bersatu dan berhibur’.

Usaha Astro seharusnya dipuji dalam mengangkat martabat muzik tanah air, sekali gus melontarkan penghormatan yang unik kepada insan berjasa seperti Sudirman.

Harian Metro yang terbabit sebagai rakan media bagi semua acara di bawah kempen akuSUDIRMAN, turut berbangga dengan sambutan yang diberikan masyarakat untuk konsert itu.

Bagi hiburan peminat di luar Kuala Lumpur, konsert Kenangan Sudirman itu juga ke udara secara langsung di Astro Prima (Saluran 105).

No comments: