Hot Minggu Ini

Thursday, November 28, 2013

Datuk tak mengaku tipu

Kota Bharu: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, bagi menghadapi tuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung urusan pemindahan hak milik tanah Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Riduan Maudin, 34, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Riduan didakwa mendorong dan memperdaya Sudirman Omar, 43, supaya menyerahkan geran tanah, borang 14A dan salinan kad pengenalan kepadanya, kononnya untuk membantu menguruskan hak pindah milik tanah milik Omar Abdullah, 79, kepada Sudirman sebelum menjual dan memindah milik tanah itu kepada orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan di Restoran Nasi Air Hidang Pok Sen, Jalan Padang Garong, di sini, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 7 Januari 2013.

Riduan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri menawarkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin.

Tertuduh tidak membantah terhadap jumlah jaminan yang ditawarkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan akibat meminta bantuan daripada Datuk, warga emas kerugian RM300,000 selepas tanahnya seluas 0.2 hektar dijual kepada orang lain dengan harga hanya RM70,000 tanpa pengetahuannya.

Lebih menyedihkan, rumah bernilai RM200,000 milik anak warga emas itu yang sudah siap dibina di atas tanah berkenaan, turut terjual.

Omar mendakwa dia menyerahkan geran tanah miliknya kepada Sudirman Januari lalu, bagi proses pecah lot untuk dibahagikan kepada dua daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, anaknya itu meminta bantuan seorang lelaki berusia 30-an bergelar Datuk untuk mempercepatkan urusan serta menyerahkan RM5,000 sebagai upah kepada Datuk berkenaan.

Cekak baju polis trafik

Kuala Pilah: Seorang lelaki bukan saja mencekak baju anggota polis trafik kerana tidak berpuas hati disaman Isnin lalu, malah memuat naik gambar tanda nama dan nombor anggota polis berkenaan dalam Facebook (FB) disertai nota mengandungi kata-kata tidak sopan.
Berikutan itu, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 6.30 petang hari sama ketika dia berada di IPD Seremban dipercayai mahu membuat laporan kejadian pada sebelah pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi Isnin lalu, anggota berpangkat konstabel itu mengawal lalu-lintas di Jalan Datuk Ulu Muar, dekat sini.

“Ketika menjalankan tugas, anggota trafik berkenaan mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan tanpa pemandu yang diletak di tepi jalan kerana menghalang lalu-lintas.

“Ketika itu muncul seorang lelaki iaitu pemilik kenderaan yang mempersoalkan tindakan anggota polis terbabit mengeluarkan saman dan seterusnya bertindak biadab mencekak baju anggota saya serta merakam gambar insiden itu menggunakan telefon bimbit,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, bimbang berlaku ketegangan, anggota trafik itu meninggalkan tempat kejadian.

“Namun setibanya di IPD Kuala Pilah, anggota berkenaan membuka laman sosial FB dan terkejut apabila terdapat entri dipercayai ditulis lelaki berkenaan yang memakinya dengan perkataan tidak sopan.

“Malah, entri itu turut menyiarkan gambar nombor badan dan nama anggota itu, sekali gus menimbulkan rasa malu anggota trafik terbabit,” katanya.

Menurutnya, anggota berkenaan kemudian membuat laporan polis pada hari sama dan gerakan mengesan suspek dilakukan segera.

“Suspek ditahan di IPD Seremban dipercayai ketika mahu membuat laporan mengenai kejadian itu.

“Saya menasihatkan orang awam bekerjasama dengan polis dan jangan bertindak biadab kerana kami menjalankan tugas diamanahkan,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan membawa hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Maut tak tahan kerja

Georgetown: Tekanan berikutan bebanan kerja dikatakan menjadi punca seorang jurutera muda di sebuah kilang terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech, Pasaraya Sunshine Square, Bayan Baru, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Lau Chuen Wei, 24, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki. 
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berseorangan memandu ke kawasan terbabit dan ketika itu dia berpakaian serba hitam dilihat seorang penjaga parkir berada dalam keadaan runsing di tingkat lapan bangunan itu.

Beberapa minit selepas itu, mangsa dipercayai terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth dan berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari di Bayan Lepas.

“Kita belum mengetahui motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Setakat ini, kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati abang ipar Lau memberitahu mangsa mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini, tetapi tidak mengetahui puncanya.

“Siasatan kita mendapati mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan masuk ke premis berkenaan kira-kira 15 minit sebelum itu dan dia ditemui mati terjatuh.

“Selain itu, kita tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan mangsa.

“Kita akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan individu terdekat yang mungkin mengetahui masalah dihadapi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta dan sejurus tamat pengajian, dia bekerja sebagai jurutera dan mempunyai teman wanita yang bekerja sebagai pegawai bank.

Tiga sekeluarga maut nahas di Jalan Pekan-Rompin

KUANTAN 28 Nov. - Tiga sekeluarga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahya Othman berkata, kejadian berlaku pukul 5.30 petang menyebabkan penumpang hadapan Rosmah Othman, 47, dan dua anaknya iaitu pemandu, Mohd. Haikal Syukri Razali, 19, dan penumpang belakang Norzafirah Razali, 12, terbunuh.
Tambahnya, seorang lagi anak mangsa iaitu Nurul Najila Razali, 7, cedera parah di kepala dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pekan. - UTUSAN ONLINE

2 penjenayah maut kereta bertembung lori

IPOH 27 Nov. - Tindakan tiga penjenayah menyamun seorang kakitangan Amanah Ikhtiar di Kampung Temin, Sungai Siput dekat sini, membawa padah apabila dua daripadanya maut setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori hari ini.
Dalam nahas pada pukul 12.30 tengah hari itu, seorang daripada suspek berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun mati di Hospital Sungai Siput.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Saga BLM dipandu mangsa dihimpit dan diarahkan berhenti oleh kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Wira.
Katanya, mangsa berusia 22 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengutip wang Amanah Ikhtiar kemudian berhenti sebelum diserang suspek yang bersenjatakan parang.
"Mangsa berjaya keluar dari keretanya. Suspek yang berparang kemudian telah menyamun dan melarikan kereta mangsa.
"Semasa melarikan diri, kereta mangsa yang dilarikan itu telah bertembung dengan sebuah lori di selekoh satu tanah perkuburan di Kampung Temin sehingga mengakibatkan dua penyamun terbabit maut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman berkata, sejumlah wang Amanah Ikhtiar yang berjaya disamun perompak berkenaan berjaya dijumpai semula.
Katanya, seorang lagi rakan suspek yang memandu Proton Wira itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk membantu siasatan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_04/2-penjenayah-maut-kereta-bertembung-lori#ixzz2lvCPvH3G
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gambar suspek kes culik warga Malaysia didedahkan

 
 
LONDON 27 Nov. - Rangkaian televisyen Britain, ITV hari ini menyiarkan rakaman video yang memaparkan ketua kumpulan ekstremis komunis Maoist, Aravindan Balakrishnan yang merupakan seorang daripada suspek kes penahanan tiga wanita termasuk seorang rakyat Malaysia selama 30 tahun di rumahnya di Brixton.
Rakaman tersebut merupakan sebahagian babak dokumentari pada 1997 yang mengisahkan penyiasatan kes kematian seorang ahli kumpulan Balakrishnan, Sian Davies.
Klip berkenaan menunjukkan seorang lelaki berkaca mata yang dipercayai Balakrishnan atau dikenali sebagai Komrad Bala menemani isterinya, Chanda yang menaiki kerusi roda sambil ditolak seseorang.
Dalam klip berlainan, dua mangsa tahanan pasangan terbabit dipercayai wanita Ireland, Josephine, 57, dan rakyat Malaysia, Siti Aishah Abdul Wahab, 69, dirakam cuba mengusir krew televisyen yang membuat penggambaran.
Dalam perkembangan lain, laporan media pada 1978 mendapati seorang wanita yang bernama 'Aishe Waham' ditahan polis dalam serbuan ke atas ibu pejabat kumpulan berkenaan.
Satu lagi laporan pada 1997 menunjukkan wanita bernama 'Aisha Wahab' memberi keterangan kepada pasukan penyiasat berhubung kes kematian Davies.
Namun laporan Telegraph hari ini mendapati, kedua-dua wanita terbabit merupakan orang yang sama iaitu Siti Aishah yang berpindah ke Britain pada 1968 sebelum terjebak dalam kumpulan Maoist.
Mangsa ketiga yang berusia 30 tahun, Rose dipercayai merupakan anak perempuan kepada Davies yang lumpuh akibat kecederaan terjatuh dari tingkap bilik air di tingkat dua di rumah Balakrishnan pada 1996 sebelum meninggal dunia setahun kemudian. - AGENSI

Pejabat pemaju hartanah ditembak

 
SEREMBAN 27 Nov. - Pintu kaca pejabat sebuah syarikat pemaju hartanah di Taman Bunga Raya di Mantin dekat sini, yang terlibat dalam kontroversi membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka di sini baru-baru ini, berkecai akibat terkena lapan das tembakan oleh individu tidak dikenali semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pekerja syarikat itu yang datang bekerja kira-kira pukul 9 pagi ini.
Katanya, pengadu terkejut apabila mendapati pintu kaca pejabat yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan rumah kedai itu pecah dan terus menghubungi majikannya sebelum membuat laporan polis.
"Polis percaya sebanyak lapan das tembakan telah dilepaskan sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah berdasarkan lapan kelongsong peluru pistol yang ditemui di hadapan premis," katanya di sini hari ini.
Kata beliau, polis masih menyiasat individu yang melepaskan tembakan itu dan motif tindakan tersebut.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Pemaju hartanah berkenaan yang membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka sebelum ini, terlibat dengan kontroversi apabila beberapa penduduk enggan berpindah kerana membantah pengambilan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan semua penduduk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Sementara itu, jurucakap syarikat itu berkata, selain pintu kaca, dinding pejabat syarikat itu turut retak akibat terkena beberapa das tembakan.
Kampung Hakka seluas 16 hektar dan diduduki kira-kira 40 keluarga dibina di tanah kerajaan yang kemudian dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.

Peniaga tertembak anak kerana disangka penyamun

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya.
 
Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh itu.
 
"Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.
 
"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini.
 
Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.
 
Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. katanya.
 
Beliau berkata peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - BERNAMA