Thursday, November 28, 2013

Pejabat pemaju hartanah ditembak

 
SEREMBAN 27 Nov. - Pintu kaca pejabat sebuah syarikat pemaju hartanah di Taman Bunga Raya di Mantin dekat sini, yang terlibat dalam kontroversi membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka di sini baru-baru ini, berkecai akibat terkena lapan das tembakan oleh individu tidak dikenali semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pekerja syarikat itu yang datang bekerja kira-kira pukul 9 pagi ini.
Katanya, pengadu terkejut apabila mendapati pintu kaca pejabat yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan rumah kedai itu pecah dan terus menghubungi majikannya sebelum membuat laporan polis.
"Polis percaya sebanyak lapan das tembakan telah dilepaskan sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah berdasarkan lapan kelongsong peluru pistol yang ditemui di hadapan premis," katanya di sini hari ini.
Kata beliau, polis masih menyiasat individu yang melepaskan tembakan itu dan motif tindakan tersebut.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Pemaju hartanah berkenaan yang membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka sebelum ini, terlibat dengan kontroversi apabila beberapa penduduk enggan berpindah kerana membantah pengambilan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan semua penduduk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Sementara itu, jurucakap syarikat itu berkata, selain pintu kaca, dinding pejabat syarikat itu turut retak akibat terkena beberapa das tembakan.
Kampung Hakka seluas 16 hektar dan diduduki kira-kira 40 keluarga dibina di tanah kerajaan yang kemudian dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.

No comments: