Tuesday, October 2, 2012

Menteri syor umur 40 tahun layak rebat telefon pintar

Menteri penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata kementerian itu akan mengemukakan syor kepada kementerian kewangan supaya meningkatkan had umur belia yang layak menerima rebat RM200 untuk membeli telefon pintar.

Katanya, pengumuman perdana menteri dalam pembentangan belanjawan 2013 Jumaat lalu menetapkan hanya golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun berpendapatan kurang RM3,000 layak untuk menerima rebat.

"Kalau diikutkan, golongan belia itu ialah 40 tahun ke bawah. Kita sudah wujudkan jawatankuasa penentu kepada program ini.

"Kita akan meneliti dan mungkin terpaksa melihat semula beberapa kategori umur yang harus diambil. Kami akan syorkan beberapa langkah positif kepada perbendaharaan supaya lebih memenuhi kepada aspirasi belia.


"Kita akan lihat semula kepentingan tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dana Karya Penulis Tempatan 2012 di ibu pejabat kementerian itu.


Ditanya mengenai kaedah untuk melaksanakan pemberian rebat tersebut, Rais berkata, kementeriannya akan mengemukakan perkara tersebut kepada kementerian kewangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


Jelasnya, dana sebanyak RM300 juta bagi Pakej Komunikasi Belia akan "diolah oleh suruhanjaya sendiri".


Tambahnya, maklumat terperinci mengenai pakej itu akan diumumkan pada 16 atau 17 Oktober depan selepas mesyuarat teknik bersama kementerian kewangan dan SKMM.


"Kita akan perhalusi dan bentang pada kementerian kewangan, SKMM bagi tentukan cara untuk diberi kepada pembeli supaya tiada penipuan, kekaburan, adil," katanya.


Dalam pembentangan belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan pakej khas itu akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama SKMM dan syarikat telekomunikasi.

No comments: