KUALA LUMPUR 28 Nov. - Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri
yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru
Balakong, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab
berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia
76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang
lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya.
Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus
mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan
selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh
itu.
"Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.
"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan
sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya," kata Ab
Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini
hari ini.
Ab Rashid berkata peniaga itu, yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.
Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. katanya.
Beliau berkata peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_08/Peniaga-tertembak-anak-kerana-disangka-penyamun#ixzz2lvDzM7fz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment