Thursday, November 28, 2013

Cekak baju polis trafik

Kuala Pilah: Seorang lelaki bukan saja mencekak baju anggota polis trafik kerana tidak berpuas hati disaman Isnin lalu, malah memuat naik gambar tanda nama dan nombor anggota polis berkenaan dalam Facebook (FB) disertai nota mengandungi kata-kata tidak sopan.
Berikutan itu, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah kira-kira jam 6.30 petang hari sama ketika dia berada di IPD Seremban dipercayai mahu membuat laporan kejadian pada sebelah pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi Isnin lalu, anggota berpangkat konstabel itu mengawal lalu-lintas di Jalan Datuk Ulu Muar, dekat sini.

“Ketika menjalankan tugas, anggota trafik berkenaan mengeluarkan saman terhadap sebuah kenderaan tanpa pemandu yang diletak di tepi jalan kerana menghalang lalu-lintas.

“Ketika itu muncul seorang lelaki iaitu pemilik kenderaan yang mempersoalkan tindakan anggota polis terbabit mengeluarkan saman dan seterusnya bertindak biadab mencekak baju anggota saya serta merakam gambar insiden itu menggunakan telefon bimbit,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, bimbang berlaku ketegangan, anggota trafik itu meninggalkan tempat kejadian.

“Namun setibanya di IPD Kuala Pilah, anggota berkenaan membuka laman sosial FB dan terkejut apabila terdapat entri dipercayai ditulis lelaki berkenaan yang memakinya dengan perkataan tidak sopan.

“Malah, entri itu turut menyiarkan gambar nombor badan dan nama anggota itu, sekali gus menimbulkan rasa malu anggota trafik terbabit,” katanya.

Menurutnya, anggota berkenaan kemudian membuat laporan polis pada hari sama dan gerakan mengesan suspek dilakukan segera.

“Suspek ditahan di IPD Seremban dipercayai ketika mahu membuat laporan mengenai kejadian itu.

“Saya menasihatkan orang awam bekerjasama dengan polis dan jangan bertindak biadab kerana kami menjalankan tugas diamanahkan,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan membawa hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

No comments: