Thursday, November 28, 2013

Datuk tak mengaku tipu

Kota Bharu: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, bagi menghadapi tuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung urusan pemindahan hak milik tanah Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Riduan Maudin, 34, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Riduan didakwa mendorong dan memperdaya Sudirman Omar, 43, supaya menyerahkan geran tanah, borang 14A dan salinan kad pengenalan kepadanya, kononnya untuk membantu menguruskan hak pindah milik tanah milik Omar Abdullah, 79, kepada Sudirman sebelum menjual dan memindah milik tanah itu kepada orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan di Restoran Nasi Air Hidang Pok Sen, Jalan Padang Garong, di sini, antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 7 Januari 2013.

Riduan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri menawarkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin.

Tertuduh tidak membantah terhadap jumlah jaminan yang ditawarkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan akibat meminta bantuan daripada Datuk, warga emas kerugian RM300,000 selepas tanahnya seluas 0.2 hektar dijual kepada orang lain dengan harga hanya RM70,000 tanpa pengetahuannya.

Lebih menyedihkan, rumah bernilai RM200,000 milik anak warga emas itu yang sudah siap dibina di atas tanah berkenaan, turut terjual.

Omar mendakwa dia menyerahkan geran tanah miliknya kepada Sudirman Januari lalu, bagi proses pecah lot untuk dibahagikan kepada dua daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, anaknya itu meminta bantuan seorang lelaki berusia 30-an bergelar Datuk untuk mempercepatkan urusan serta menyerahkan RM5,000 sebagai upah kepada Datuk berkenaan.

No comments: