Thursday, September 6, 2012

[Petaling Jaya] Cubaan Bakar Kelas gagal


PETALING JAYA – Tindakan pantas pengawal keselamatan sebuah pasar raya berjaya menyelamatkan sebuah kelas Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai daripada terbakar.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam itu, pengawal keselamatan terbabit yang sedang bertugas di pasar raya berhadapan sekolah itu ternampak api menyala dari salah sebuah kelas di tingkat 2 lalu bertindak memaklumkan kepada penduduk berhampiran.

Anggota Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Fatah Mubin, 36, berkata, dia yang menerima panggilan terus bergegas ke sekolah terbabit sebelum bertindak memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas.

“Kami memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sekolah namun sebaik tiba di blok bangunan terbabit, pintu jeriji untuk naik ke tangga berkunci dan terpaksa diumpil bagi
membolehkan kami masuk,” katanya

Menurutnya, sebuah kerusi plastik turut musnah selepas suspek cuba memulakan api  dengan melonggokkan buku latihan yang ditinggalkan di dalam kelas tingkat 3 itu.

“Hos pemadam api tidak berfungsi menyebabkan api terpaksa dipadamkan menggunakan air paip dari tandas,” katanya.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut oleh polis tidak menemui sebarang kesan pecah namun yakin suspek cuba mengkhianati sekolah.

Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Damansara Damai berhubung kejadian yang berlaku.

Sinar Harian 5 Sep 2012

No comments: