Tuesday, June 5, 2012

2 peragut diberkas atas motor

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga bulan aktif melakukan pelbagai jenayah ragut dan pecah kereta sekitar Cheras, dua penganggur warga tempatan berumur 20 hingga 30-an diberkas polis ketika menunggang motosikal di Taman Cheras, di sini.
Kedua-dua mereka ditahan pada jam 12 tengah malam 12 Mei lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hasil maklumat awam serta intipan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera digital, dua Smart Tag, jam tangan pelbagai jenis dan sebuah motosikal Yamaha yang dipercayai hasil daripada kegiatan ragut dan pecah kereta.
“Hasil siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat sekiranya suspek terbabit sama aktiviti pecah rumah di Cheras.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda,” katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohan Singh berkata, polis menahan dua pengawal peribadi yang terbabit pergaduhan di sebuah kelab berhampiran Jalan Pudu, di sini, yang mengakibatkan seorang jurujual cedera di kepala akibat dihentak menggunakan pistol, Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek yang berumur 37 dan 45 tahun itu melepaskan dua das tembakan ketika ingin melarikan diri dan kini direman sehingga 6 Jun bagi membantu siasatan.

“Walaupun seorang daripada suspek mempunyai lesen senjata api, tetapi perbuatannya yang mencederakan orang serta melepaskan tembakan di kawasan awam salah di sisi undang-undang. “Tiada kehilangan nyawa dicatatkan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pistol yang digunakan suspek dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

No comments: