Friday, June 22, 2012

Sampah belit tayar motor

SEGAMAT: Plastik sampah yang dibuang menerusi tingkap sebuah kereta nyaris meragut nyawa seorang mekanik apabila ia membelit tayar motosikal hingga menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas jalan raya di Jalan Genuang Segamat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Fakrul Imaran Idris, 18, nyaris digilis sebuah lori dari belakang.

Tanpa sebarang simpati, pemandu kereta yang membiarkan penumpang melemparkan bungkusan sampah itu, memecut ke arah pusat bandar ini meskipun menyedari mangsa terjatuh.

Fakrul Imaran berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Segamat Baru untuk pulang ke rumah di Jalan Temenggung.

Selepas persimpangan lampu isyarat di hadapan Bank OCBC, dia mengekori sebuah Perodua Kancil merah dan ketika mahu membelok ke kiri, tiba-tiba sebuah beg plastik sampah dicampak keluar penumpang depan sebuah kereta.

“Saya terkejut dan cuba mengelak tetapi plastik sampah yang panjangnya kira-kira satu meter terkena tayar hadapan sebelum membelit rim hingga menyebabkan motosikal saya terhenti dan saya tercampak.

“Sejurus jatuh terlentang atas jalan, saya terdengar bunyi hon lori sayur dari belakang. Meskipun kesakitan, saya berusaha merangkak ke bahu jalan bagi mengelak digilis lori sebelum dibantu orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Fakrul berkata, pemandu kereta itu pada mulanya kelihatan mahu berhenti berdasarkan lampu brek belakang menyala tetapi terus memecut sejurus terdengar bunyi hon lori sayur.

Akibat kejadian itu, dia menanggung kerugian RM200 kerana motosikalnya mengalami kerosakan lampu hadapan, cermin sisi, lampu isyarat membelok serta kos perubatan.

“Saya diberi cuti sakit tiga hari akibat kecederaan dan luka di tangan serta kaki kiri,” katanya sambil menambah sampah dalam bungkusan plastik itu terdiri daripada pembalut coklat dan gula-gula, kotak rokok serta tisu terpakai.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat (MDS), Ismail Abu, berkata perbuatan membuang sampah melalui kenderaan di tempat awam boleh dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM250.

No comments: