SHAH ALAM: Adinda Sultan Selangor, Tengku Puteri Aishah Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, 56, selamat dikebumikan di Makam Diraja, di sini, tengah hari semalam.Almarhumah yang menderita penyakit barah lebih dua tahun lalu, menghembus nafas terakhirnya ketika dirawat di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, pada jam 12.15 tengah malam semalam.
Tengku Puteri Aishah yang lahir pada 10 Ogos 1956 adalah puteri bungsu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan isteri pertama baginda, Raja Nur Saidatul Ihsan Tengku Bendahara Badar.Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menghadiri istiadat pengkebumian berkenaan. Turut memberikan penghormatan terakhir, Raja Muda, Tengku Amir Shah; kerabat diRaja Selangor, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Ahli Majlis Diraja, Tengku Seri Wangsa Diraja, Datuk Setia Tengku Ramli Tengku Shahruddin Shah, ketika ditemui selepas istiadat pengkebumian berakhir jam 12.45 tengah hari semalam, berkata ketika mangkat, Almarhumah dikelilingi kaum kerabat Selangor dan jenazahnya dibawa ke Istana Alam Shah, Klang jam 2.45 pagi semalam.
“Jenazah adinda baginda dimandikan dan solat jenazah dilakukan di Masjid Istana Diraja, di perkarangan Istana Alam Shah,” katanya.
Hot Minggu Ini
Tuesday, July 31, 2012
Adinda Sultan Selangor Mangkat
Penjual nasi bungkus ditangkap
ALOR SETAR – Jual nasi bungkus kepada orang tidak berpuasa pada harga pakej menggunakan kereta di lokasi tersembunyi di tepi tapak pembuangan sampah haram.
Itu yang dilakukan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai untuk mendapatkan wang lebih pada bulan Ramadan ini.
Bagaimanapun, rahsia lelaki itu terbongkar apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyerbu kereta jenis Proton Saga miliknya yang diletakkan di belakang deretan bangunan berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana di sini semalam.
Dalam serbuan Operasi Ramadan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki terbabit sedang menunggu pelanggan dan hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui masing-masing 50 bungkus nasi berlauk dan minuman.
Kesemua makanan dan minuman tersebut disembunyikan di dalam beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang dan but kereta.
Difahamkan, nasi bungkus dijual antara RM5 hingga RM7 mengikut jenis lauk kepada pekerja di kawasan sekitar yang kebanyakannya pekerja bengkel.
Dalam operasi berasingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Jabatan Kesihatan negeri itu, MBAS menyerbu sebuah gerai ditutupi kain kanvas di tepi Jalan Gangsa di sini.
Tertuduh mati dalam mahkamah
MELAKA – Suasana tenang di Mahkamah Majistret 1 di Kompleks Mahkamah Melaka semalam bertukar menjadi gempar apabila seorang tertuduh lelaki tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia di luar kandang tertuduh.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, seorang tertuduh, Fazlie Khamis, 28, yang menghadapi pertuduhan memiliki heroin meninggal dunia selepas seorang jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.
Sumber polis memberitahu, sebelum kejadian, Fazlie dibawa ke Mahkamah Majistret tersebut seorang diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan duduk di kerusi di luar kandang pesalah dalam keadaan yang sangat lemah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.
“Bagaimanapun selepas pertuduhan dibacakan, tiada sebarang tindak balas atau pengakuan salah direkodkan dan tertuduh hanya menundukkan mukanya.
“Disebabkan kakitangan mahkamah melihat tertuduh seperti tidak sihat, mereka kemudian menghubungi ambulans sebagai persediaan.
“Pada masa yang sama, tertuduh ketika itu dilihat masih boleh bergerak dan jurubahasa mahkamah kemudian membaca sekali lagi pertuduhan kepada tertuduh buat kali kedua dan tertuduh masih diam,” kata sumber polis itu semalam.
Tambah sumber polis itu lagi, selepas pertuduhan kali kedua dibacakan tidak berapa lama selepas itu, Fazlie kemudian tiba-tiba rebah ke lantai dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati tertuduh telah meninggal dunia.
Monday, July 30, 2012
Suami, Isteri biar anak didera mati di hospital
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, bukan saja sanggup mendera anak mereka hingga pengsan, malah turut membiarkan anaknya itu yang berusia empat tahun bersendirian di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), pagi kelmarin.
Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu yang menunggu rawatan di unit kecemasan gagal diselamatkan doktor dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.15 pagi.
Sumber polis berkata, dalam kejadian itu, sepasang suami isteri yang tinggal berdekatan PPUKM menghantar seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak mereka ke unit kecemasan.
“Ketika dibawa ke PPUKM, kanak-kanak terbabit yang tidak sedarkan diri ditempatkan di unit kecemasan untuk rawatan.
“Beberapa minit kemudian, ibu bapa kanak-kanak itu keluar sebelum menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu mereka di pekarangan PPUKM dan melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, beberapa kakitangan unit kecemasan PPUKM yang menyedari tindakan itu cuba mengejar mereka namun terlambat.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kanak-kanak itu mendapati mangsa didera ibu bapanya berikutan wujud kesan calar dan lebam di seluruh badannya.
Selepas disahkan meninggal dunia, doktor yang merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan untuk menjejaki ibu bapa mangsa.
Pemilik butik dicabul selepas butiknya dirompak
KUALA LUMPUR: Empat penyamun yang menggunakan alat renjatan elektrik terhadap seorang wanita ketika menyamun butik pengantinnya di Taman Tasik Permaisuri di sini, bukan saja melaram dengan pakaian dan barang curi bernilai lebih RM10,000 bagaikan orang kaya di sebuah pusat beli-belah, malah turut mencabul wanita berkenaan, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat penyamun berkenaan menyamar sebagai pelanggan ingin menempah pakaian untuk majlis akad nikah, mula mengintip pergerakan di kawasan butik beberapa jam sebelum itu.
Mangsa mahu dikenali sebagai Yati, 28, berkata ketika dia berehat di atas sofa butik yang terletak di tingkat satu, seorang lelaki masuk memberitahu mahu menempah pakaian untuk akad nikah melalui interkom.
Bagaimanapun katanya, sebaik membuka pintu butik, tiga lagi rakan lelaki itu menyerbu masuk sebelum mengenakan alat renjatan elektrik ke mukanya menyebabkan badannya lemah.
“Akibat terkena renjatan elektrik pada muka, saya terkencing dan terduduk lemah.
“Mereka menggeledah setiap ruang dalam butik dan melarikan beg tangan mengandungi 10 kad kredit, dua telefon bimbit, komputer tablet, barang kemas, wang tunai, cermin mata dan pakaian pengantin lelaki semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian tubuhnya turut diraba dan dalam tempoh 10 minit mereka dalam kedainya, seorang daripada suspek membuka seluarnya dan cuba mendekatinya tetapi dia sempat melarikan diri bersembunyi dalam tandas.
Sebaik mereka meninggalkan butiknya, Yati menghubungi bank bagi menamatkan perkhidmatan lapan daripada 10 kad kreditnya dan jangkaannya tepat apabila kumpulan itu cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama, di sini.
Katanya, mereka melaram dengan pakaian pengantin yang dicuri dari butiknya itu dan berlagak seperti orang kaya dengan memasuki beberapa kedai jam dan cermin mata.
Menurut Yati, berdasarkan rekod bank, penyamun berkenaan cuba menggunakan kad kreditnya untuk membeli jam tangan berharga RM900 tetapi gagal kerana kad kredit berkenaan sudah dibatalkan.
“Sebaik dimaklumkan pihak bank kad kredit saya digunakan di pusat beli-belah itu, saya bergegas ke sana dan menemui pihak pengurusan pusat beli-belah bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti wajah mereka,” katanya.
“Dalam rakaman itu jelas keempat-empat mereka memasuki beberapa kedai dengan bersahaja dan berlagak seperti orang kaya membeli-belah,” katanya.
Menurutnya, apabila beberapa transaksi pembelian mereka gagal, keempat-empat suspek melarikan diri. dan tidak sempat dikejar pemilik kedai.
Susulan itu, Yati membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Intip wanita buang air, juruteknik jumpa telefon bimbit dalam tandas
ALOR GAJAH: Seorang juruteknik sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Durian Tunggal, di sini, trauma setiap kali ke tandas selepas menemui telefon bimbit berkamera dibalut dengan kain buruk dalam tandas wanita universiti berkenaan Selasa lalu.
Kejadian jam 1.30 tengahari disedari mangsa berusia lingkungan 30-an selepas terdengar bunyi 'alarm' dalam tandas berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.
Mangsa yang sudah berumah tangga dan enggan dikenali berkata, dia mengesyaki sesuatu selepas terlihat gumpalan kain buruk berhampiran berus pencuci mangkuk tandas lalu memeriksanya sebelum menjumpai telefon bimbit berkenaan.
Perasaan ingin tahu membuat wanita berkenaan beranikan diri mengambil gumpalan kain buruk berkenaan itu sebulum menemui sebuah telefon pintar berjenama.
"Saya dapat melihat rakaman video beberapapelajar wanita sedang membuang air dalam tandas tanpa mereka sedari," katanya uang membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pols Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifudiin Shaharuddin berkata, mangsa menyerahkan telefin bimbit terbabit kepada unit pentadbiran universiti berkenaan untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan pada telefon itu menemui beberapa rakaman video wanita yang sering menggunakan tanda berkenaan," katakanya ketika ditemui pada Majlis Bebuka Puasa bersama penduduk Kampung Ganun di Madrasah Al-Ehsan di sini, kelmarin. - pilihan anda
Friday, July 27, 2012
Kopitiam terkenal di Pualu Pinang saji KATAK untuk hidangan berbuka?
JELUTONG - "Kakak, saya cuma hendak beritahu kakak, tadi baru saja tukang masak kami makan katak di dapur," bisik seorang pekerja kopitiam kepada gadis yang mahu dikenali Alia ketika berhasrat membuka puasa di sebuah pasar raya di Jelutong.
Ketika itu, Alia bersama rakannya berhajat berbuka puasa di kopitiam berkenaan, bagaimanapun hasrat mereka terbantut apabila terdengar luahan itu.
Mereka diberitahu tentang perkara itu ketika sedang berbual sementara menanti waktu berbuka.
"Pelayan itu memaklumkan perkara itu kepada kami memandangkan saya dan kawan-kawan datang dengan niat untuk berbuka puasa.
“Pelayan itu cuma beritahu tukang masak makan katak di bahagian dapur. Katanya, ini bukan kali pertama tetapi sudah masuk kedua atau ketiga,” katanya.
Alia dan rakan-rakannya yang terkejut dengan cerita itu kemudian mempertikaikan sama ada tukang masak itu menggunakan kuali yang digunakan sama untuk memasak makanan pelanggan atau sebaliknya.
"Bagaimanapun, pelayan itu mengaku tidak pasti. Tetapi katanya, yang makan tetap tukang masak itu, apa pun dia akan pegang katak dan memasak makanan untuk orang lain.
“Kata pelayan itu dia baru bekerja, dan dia bersama seorang lagi kawan berbangsa Melayu yang nampak kejadian itu. Tetapi menurutnya, dia tidak berani menegur kerana ramai pekerja di restoran itu adalah warga asing,” katanya.
Katanya, ketika ditanya mengenai status halal, pelayan mengakui restoran yang mempunyai francais di seluruh negara itu hanya memiliki sijil halal untuk kopitiam mereka di Kuala Lumpur sahaja.
“Tapi saya tahu ramai yang ingat kami halal sebab di KL sudah halal. Saya boleh beritahu saja, terpulang pada kakak,” kata pelayan restoran itu kepada Alia.
Mendengar maklumat yang diberikan, Alia dan rakan-rakannya hilang selera dan terus ke kedai lain untuk berbuka puasa memandangkan hari sudah hampir Maghrib.
Alia kecewa kerana kopitiam berkenaan menjadi kunjungan orang ramai termasuk pelanggan beragama Islam. Rata-rata yang berkunjung selalunya memesan minuman dan makanan yang berasaskan mi dan pencuci mulutnya.
Mendengar cerita Alia, Sinar Harian ke restoran itu untuk mengintai kesahihannya.
Salah seorang pengunjung yang enggan dikenali mengakui rata-rata pekerja di kopitiam berkenaan adalah warga asing khasnya Nepal dan Bangladesh.
“Kadangkala mereka berbau busuk walaupun pada waktu bekerja. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana bau mereka ketika berada di dapur menyediakan makanan dan mengambil pesanan pelanggan.
"Nampak saja kopitiam yang agak mahal dan selesa tetapi kebersihan pekerjanya memang mendukacitakan,” katanya.
Meneliti maklum balas orang ramai mengenai restoran berkenaan melalui laman web, beberapa pelanggan turut memberikan pandangan negatif terhadap kopitiam berkenaan.
Antaranya ialah melalui www.penangfoodreviews.com di mana pemilik blog tersebut jelas tidak berpuas hati perkhidmatan kopitiam berkenaan.
Dalam tulisan blogger itu, beliau turut memaklumkan harga yang dikenakan juga agak mahal dan tidak berpatutan dengan kualiti makanan. - pulakdah
Wednesday, July 25, 2012
Awas! Jangan Tinggal Resit Minyak Anda
KUALA KANGSAR, 24 Julai --Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Abdul Ghaffar Mohamad (kanan) bersama Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Taiping Insp. Haryanti Che Mat menunjukkan kereta suspek yang digunakan untuk mengisi minyak curi yang berjaya dirampas pada sidang media di IPD Kuala Kangsar di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Abdul Ghaffar Mohamad menunjukkan sebahagian daripada ratusan kepingan kad keahlian pengguna pada sidang media di IPD Kuala Kangsar di sini hari ini.
Sebanyak 193 keping kad berjaya dirampas apabila pihak polis berjaya menahan 4 suspek dipercayai ahli sindiket yang mengubahsuai data-data keahlian kad pelbagai jenis seperti kad bonuslink, kad smile dan kad kredit.
Polis berjaya memberkas empat suspek berumur diantara 25-42 tahun setelah mendapat panggilan dari pemilik Stesen Minyak di Jalan Taiping-Kuala kangsar pada Ahad lepas.
Sindiket ini mengubahsuai kad-kad pengguna melalui resit-resit yang ditinggalkan. - pulakdah
Tuesday, July 24, 2012
Wanita Malaysia terlibat dalam penipuan Tsunami Jepun
SEOUL 23 Julai - Polis Korea Selatan menahan seorang wanita Indonesia dan meminta Interpol menahan tiga suspek lain iaitu seorang wanita rakyat Malaysia, Nigeria dan lelaki dipercayai warga Amerika Syarikat kerana terlibat dalam penipuan melibatkan bencana gempa bumi dan tsunami Jepun Mac tahun lalu.
Wanita Malaysia berusia 33 tahun itu dilaporkan menghantar satu e-mel kepada seorang lelaki Korea Selatan pada tahun lalu melalui laman penpal, mendakwa dia bekerja dengan sebuah bank di negaranya.
Menurut wanita itu, seorang pelanggan Jepun dengan jumlah deposit sebanyak AS$4.2 juta (RM13.3 juta) dalam akaun bank tempatnya bekerja, telah terbunuh dalam bencana gempa bumi dan tsunami bersama kesemua ahli keluarganya.
Wanita tersebut mencadangkan supaya lelaki Korea Selatan itu menuntut wang berkenaan dengan menyamar sebagai waris mangsa dan berkongsi wang dengannya.
Polis berkata, wanita Malaysia itu memperoleh AS$96,000 (RM304,512) daripada lelaki Korea tersebut selepas menyatakan duit itu diperlukan untuk memalsukan dokumen.
Namun, lelaki Korea itu tidak sabar dengan proses pengurusan yang lambat dan bertindak membuat laporan polis pada April lalu.
Lelaki itu menjemput rakannya iaitu seorang wanita Indonesia yang berusia 33 tahun untuk ke Seoul dengan janji mendapatkan lebih banyak wang dan polis menahan wanita itu pada 4 Julai lalu.
"Ini adalah penahanan pertama melibatkan penipuan yang mengambil kesempatan ke atas bencana tsunami Jepun, tetapi kami mula menerima banyak laporan mengenai cubaan sama sejak penahanan itu," kata polis penyiasat, Kim Gyoung-he. - AFP
Penyamun Campak Anak
KUALA SELANGOR: “Saya terkejut kejadian berlaku sekelip mata kerana sewaktu kereta dilarikan saya berada di hadapan pintu rumah memakai stokin sambil memanaskan enjin kereta.
“Tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng membawa parang dan masuk ke dalam pacuan empat roda Honda CRV milik majikan yang diletak di hadapan rumah. Lelaki terbabit mencampak anak perempuan saya berusia tujuh tahun keluar sebelum melarikan kereta berkenaan,” kata Suhaimi Mansor, 35, yang ditemui semalam.
Menurut Suhaimi, dalam kejadian jam 7 pagi itu, dia bersiap untuk menghantar anaknya ke sekolah, namun sempat memanaskan enjin kereta sebelum mengarahkan anaknya menunggu di dalam kereta.
Sebaik melihat anaknya dicampak keluar, keretanya pula dilarikan, mangsa mendapatkan bantuan jirannya mengejar suspek sebelum terserempak suspek di hadapan sebuah sekolah rendah.
“Suspek tak dapat larikan diri kerana jalan ditutup sehingga memaksa mereka berpatah balik ke jalan utama.
Friday, July 20, 2012
Pemandu Teksi Dajjal, Rogol Penumpang Teksi
GOMBAK: Lagi pemandu teksi dajal. Kali ini, seorang drebar teksi sanggup mengugut akan menolak seorang penuntut kolej ke dalam gaung sebelum bertindak memperkosanya di kawasan semak di Jalan Lama Gombak, dekat sini, sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, gadis malang terbabit yang berusia 19 tahun menaiki teksi berkenaan di Batu Caves, sebelum meminta pemandu terbabit menghantarnya ke Taman Batu Muda, Sentul.
Menurut sumber, bagaimanapun ketika dalam perjalanan, pemandu itu memberitahu ingin membuang air kecil dan terus mengubah laluan ke Jalan Lama Gombak sebelum berhenti di tepi kawasan semak.
“Sangkaan mangsa lelaki itu memang ingin membuang air kecil ternyata meleset apabila tiba-tiba lelaki itu membuka pintu penumpang belakang dan mengarahkan mangsa keluar secara paksa.
“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa cuba melawan namun gagal sebaliknya ditampar beberapa kali sebelum diacukan pisau di leher dan mengarahkan mangsa supaya berdiam diri serta mengikut segala arahannya,” katanya.
Remaja main permainan video 40 jam tanpa henti ditemui mati
TAIPEI: Seorang remaja ditemui mati di kafe siber selepas dikatakan bermain permainan video selama 40 jam tanpa henti.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu dipercayai rebah ketika sesi marathon Diablo 3. Dia ditemui oleh pekerja kafe siber di Tainan, di selatan negara ini. Mangsa dipercayai tidak makan selama dua hari.
Pemain permainan itu setakat ini hanya dikenali dengan nama keluarganya, Chuang.
Pada pagi 15 Julai lalu, seorang pekerja yang memasuki kafe siber itu menemui Chuang berehat di meja. Selepas pekerja itu membangunkannya, dia berdiri, bejalan beberapa langkah dan kemudian rebah.
Dia disahkan mati sejurus selepas tiba di hospital.
Polis sedang menyiasat punca kematiannya dan bedah siasat masih dijalankan.
Duduk di tempat sama dalam tempoh lama dipercayai menimbulkan masalah kardiovaskular kepada Chuang.
Ia adalah kematian kedua akibat bermain permainan video di negara itu tahun ini. Pada Februari lalu, seorang lelaki ditemui mati di New Taipei, longlai di kerusi menghadap komputer dengan tangannya masih memegang papan kekunci selepas bermain selama 23 jam. - AFP
Thursday, July 19, 2012
Lagi Kejadian di Parking Lot One Utama | Lelaki Tua Ditumbuk dn Dirompak
Kes jenayah semakin menjadi-jadi di Kuala Lumpur. Kali ini ia melibatkan seorang lelaki tua dimenumbuk dan dirompak di tempat letak kereta pusat membeli-belah semalam.
Menerusi facebook, insiden ini dikatakan berlaku pada 16 Julai kira-kira jam 10 malam di pusat membeli belah 1 Utama di tempat letak kereta aras LG.
Laporan mengatakan seorang lelaki tua telah menumbuk dan dirompak oleh seorang penjenayah lelaki. Tidak ada pengawal keselamatan di sekeliling pada masa itu. Sebaik pengawal keselamatan tiba, orang ramai yang sedang berada di tempat kejadian dan mengambil gambar telah diarahkan berhenti dan diarahkan meninggalkan tempat kejadian.
"Mereka di bayar gaji untuk menjada keselamatan pelanggan, tetapi mereka tidak memperdulikannya. Sebaliknya mereka cuba untuk menutup isu ini. Kita perlukan perubahan di bandar raya ini, pusat membeli-belah perlu bertanggungjawab!" menurut tulisan di dalam facebook tersebut. - pulakdah
Tuesday, July 17, 2012
Cicak Spiderman ditemui di Kenya | Cicakman...
NAIROBI - Sepasang suami isteri berjaya merakamkan cicak Spideman atau nama saintifiknya, Mwanza Flat Headed Agama ketika menghadiri bengkel fotografi di Taman Negara Masai Mara di Kenya, minggu lalu.
Cassio Lopes bersama isterinya Alessandra hampir tidak percaya apabila spesies cicak yang berasal dari Afrika itu muncul mendekati mereka.
Menurut Lopes, cicak itu hanya pernah dilihat di dalam komik popular Spiderman.
"Cicak itu mempunyai warna di dada, lengan dan kaki, ia menyerupai cicak dalam animasi Spiderman dan hanya melekat pada batu berhampiran sungai," katanya.
Muslim ada hak berkhatan, Canselor Jerman tolak keputusan mahkamah
Angela Merkel |
BERLIN - Kerajaan Jerman menegaskan bahawa masyarakat Yahudi dan Islam berhak untuk meneruskan amalan berkhatan walaupun mahkamah
negara itu memutuskan kaedah itu membahayakan nyawa dan tidak wajar diteruskan.
Menurut jurucakap Canselor Angela Merkel, meneruskan hak berkhatan adalah soal kebebasan beragama dan ia patut dibenarkan.
“Sunat dijalankan dengan cara yang bertanggungjawab mestilah dibuat tanpa sebarang hukuman,” kata Steffen Seibert, semalam.
Kumpulan Yahudi dan Islam Eropah mengkritik keputusan Mahkamah Cologne.
Mahkamah memutuskan demikian ekoran kes seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang disunat mengalami komplikasi perubatan.
Menurut mahkamah, hak kanak-kanak terhadap integriti fizikal sengaja direka oleh hak agama dan ibu bapa.
“Bagi setiap rakyat, ada jelas bahawa kita mahu melihat adanya kehidupan beragama bagi masyarakat Yahudi dan Islam di Jerman,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan akan melihat dengan segera bagi mewujudkan "kepastian perundangan" dalam soal seperti berkhatan.
"Adalah jelas ini tidak boleh dibelakangkan. Kebebasan untuk mengamalkan agama adalah prinsip undang-undang yang perlu dihargai," ujarnya.
Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Jerman telah memaklumkan para doktor agar tidak melakukan proses berkhatan berikutan keputusan mahkamah.
Kumpulan Yahudi dan Islam telah berganding suara untuk mempertahankan hak berkhatan ekoran keputusan mengejutkan oleh pihak mahkamah.
Satu kenyataan bersama yang jarang-jarang dikeluarkan telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin Islam dan Yahudi.
Beribu-ribu kanak-kanak lelaki Islam dan Yahudi dikhatan di Jerman setiap tahun.
Hormati budaya di perpustakaan
Perpustakaan Raja Tun Uda dibina menghadap sebuah tasik di Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13, Shah Alam dan menjadi mercu tanda Selangor, sebuah negeri maju seperti yang diilhamkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiap pengunjung yang datang pastinya akan merasai pengalaman baru yang tidak boleh dilupakan. Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, ia bukan sahaja bertindak sebagai pusat ilmu, malah kemudahan yang disediakan juga membolehkan setiap pengunjung beriadah serta berhibur bersama seisi keluarga.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, pihaknya menekankan konsep pendidikan dan hiburan selari dengan temanya Perpustakaan Rumah Keduaku. Idea tersebut hadir setelah pihaknya mengadakan lawatan ke Singapura dan Hong Kong.
“Hasil lawatan kami ke Singapore Science Centre dan Singapore Discovery Centre membawa idea bagi mendapatkan bahan pendidikan interaktif,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya turut melihat pada kehendak trend masyarakat kini yang mana kebanyakannya suka belajar di restoran makanan segera seperti McD dan KFC.
“Kami juga pergi ke kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya dan Borders. Apa yang kami fikiran ialah kami cuba gabungkan semua menjadi satu. Kami nampak akan suasana yang ceria itu lalu membawanya ke perpustakaan,” katanya.
Didik pengguna
Mastura berkata, terdapat lebih 200,000 buku dengan beberapa kemudahan lain seperti perkhidmatan multimedia dan Internet, gimnasium, dewan serba guna, auditorium, bilik seminar dan panggung enam dimensi (6D) dan tiga dimensi (3D) yang boleh dimanfaatkan oleh setiap pengunjung.
“Perpustakaan ini turut menyediakan kafeteria yang menyajikan pelbagai hidangan menarik dengan kadar harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, lagi menarik, pihaknya turut menyediakan bahagian khas untuk pengguna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dengan sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya merayu agar ibu bapa yang menghantar anak mereka ke perpustakaan supaya sentiasa berkelakuan baik dan sopan.
“Kami menciptanya dalam keadaan santai supaya mereka berasa relaks. Tetapi tolonglah mendidik anak kita supaya menjaga harta perpustakaan seperti harta sendiri,” katanya ketika menjawab aduan sebahagian ibu bapa mengenai tahap ‘kebisingan’ di perpustakaan.
Berdasarkan kepada perkara tersebut, pihaknya meminta agar ibu bapa tidak sensitif sekiranya pihaknya ada menegur anak mereka yang bertujuan untuk mendidik.
Oleh itu, katanya, jalan penyelesaian yang diambil adalah dengan membina satu tempat senyap bagi bahagian kanak-kanak supaya mereka fokus dalam pembacaan.
Selain itu, Mastura berkata, apabila pihaknya dapat mendidik pengguna supaya menjaga perpustakaan ini seperti rumah sendiri, maka pihaknya juga akan menambahkan lagi pelbagai kemudahan untuk mereka.
Dalam pada itu, katanya, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyumbang kira-kira 1,200 naskhah buku yang diimport dari Britain dengan judulnya dipilih sendiri oleh baginda.
“Baginda suka pada buku yang berbentuk biografi kepimpinan malah baginda juga berkenan membenarkan buku yang didermakan itu diberi pinjam kepada ahli perpustakaan tanpa mengira harganya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga telah dijemput untuk melawat perpustakaan baginda di Putrajaya.
“Baginda sangat menjiwai buku dan boleh digelar sebagai ulat buku. Koleksi baginda terlalu banyak dan bagus sehinggakan sejarah mengenai Selangor pada 1700 dan 1800 pun ada siap dengan gambarnya sekali,” katanya.
Bagi memelihara kesejahteraan pada buku sejarah tersebut, pihak perpustakaan akan mulakan aktiviti pendigitalan secara berperingkat.
Pendaftaran percuma
Sementara itu, Mastura berkata, baru-baru ini, Sultan Sharafuddin telah menitahkan kepada pihaknya supaya perpustakaan ini dibuka waktu malam terutamanya pada hari minggu.
“Kini, ia dibuka kepada orang awam bermula jam 9.30 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu dan Ahad pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari cuti umum,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mulai 1 September ini pihaknya akan melanjutkan masa sehingga 7 malam untuk hari bekerja manakala hingga jam 9 malam untuk hari minggu. Selain itu, keahlian Perpustakaan Raja Tun Uda terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pendaftarannya adalah percuma.
“Buat masa ini, perpustakaan ini mempunyai seramai 994,000 ahli dan berita baik bagi ahli yang ke-1,000,000 kerana kami berhasrat untuk menghadiahkan sebuah iPad kepada mereka yang bertuah,” katanya.
Beliau juga berharap agar setiap pemimpin melihat perpustakaan sebagai satu tempat pencegahan gejala sosial dan bukanlah sebagai satu agensi yang membebankan.
“Tetapi, alangkah bagusnya, sekiranya, pembentukan masyarakat berilmu dan penuh berkemahiran dimulakan seawal mungkin. Jadi, perpustakaan perlu ‘bangun’ dan transformasi perlu dilakukan kerana itu adalah satu tanggungjawab,” katanya.
Samun: Enam pekerja diikat, ditetak
KULIM - Enam daripada 37 pekerja warga asing sebuah kilang di sini dicederakan oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang panjang yang masuk ke asrama mereka kira-kira jam 2.30 pagi.
Selain diugut untuk dibunuh sekiranya cuba melarikan diri, pekerja warga asing itu turut diikat.
Mereka yang tercedera dilaporkan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melarikan diri melalui pintu hadapan asrama, bagaimanapun ditetak suspek di bahagian badan dan kepala.
Difahamkan, melihatkan keadaan suspek yang agresif, kesemua mangsa yang berada dalam asrama itu mengambil keputusan membiarkan tindakan kumpulan itu yang mahu menyamun.
Seorang mangsa warga Bangladesh, Robiul berkata, ketika kejadian dia sedang tidur, sebelum terdengar suara seperti pertengkaran.
Menurutnya, apabila terbangun, dia mendapati tujuh lelaki bersenjatakan parang ada di dalam asrama. “Empat dari mereka suspek terlibat bertopeng manakala tiga lagi tidak. Mereka masuk ke asrama pekerja dan mencederakan sesiapa sahaja yang cuba melarikan diri dan melawan.
Mereka merampas telefon bimbit, wang tunai dan pasport kami. “Ada beberapa kawan lain warga Nepal cuba melawan bagaimanapun mereka ditetak dan alami pendarahan yang banyak. Kumpulan itu berada di sini kira-kira 20 minit sebelum kesemua mereka lari,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, PPKM mendapat maklumat orang ramai kira-kira jam 2 pagi dan mengarahkan beberapa ahli yang membuat rondaan pergi ke tempat kejadian.
Menurutnya, apabila tiba di kilang terlibat, ahli PPKM dimaklumkan kumpulan lelaki bersenjatakan parang telah menceroboh asrama pekerja kilang itu.
Eng Khim kemudiannya meminta bantuan semua ahli PPKM untuk pergi ke lokasi kejadian sebelum menghubungi polis.
“Ahli PPKM kemudiannya masuk ke asrama pekerja dan mendapati ada kalangan mereka yang diikat dan tercedera. Saya kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan ambulan.
“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa keluar dari asrama dan berkumpul di hadapan pondok pengawal kilang. Saya mengarahkan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian untuk membuat rondaan sekitar kilang untuk mengesan suspek. PPKM menemui kesan pagar kilang dipotong dipercayai tempat di mana suspek masuk dan melarikan diri,” katanya.
Kesemua mangsa yang tercedera dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395 samun berkawan/ 397 samun bersenjata.
“Polis percaya mereka terlibat kejadian ini merupakan suspek sama dan pernah ditahan sebelum ini. Bagaimanapun polis akan menyiasat kes ini dan menahan suspek dalam masa terdekat,” katanya.
Imbuhan Aidilfitri: Cuepacs cari pendekatan terbaik
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mencari pendekatan terbaik untuk memastikan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara mendapat imbuhan menjelang Aidilfitri.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mendapatkan pandangan pihak tertentu berhubung perkara itu sebelum menyerahkannya kepada pihak pentadbiran untuk diputuskan.Beliau berkata Cuepacs tidak mahu setiap kali kongres itu membuat sesuatu tuntutan terutama bonus, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan."Kita (Cuepacs) sedang mencari ilham supaya perkara ini tak menyusahkan kerajaan, peniaga dan pekerja, kita mahu satu pendekatan yang bijak," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs Bilangan 6 Sesi 2010-2013 di sini hari ini.Mesyuarat dihadiri 130 orang anggota majlis. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa juga berkesempatan mengadakan dialog selepas mesyuarat.Selain itu Omar mengulangi pendirian mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menarik balik dua dasar baru yang diperkenalkan iaitu membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.Beliau berkata dasar itu perlu dibatalkan dan satu pendekatan yang lebih berdaya saing diwujudkan untuk memantapkan perkhidmatan awam negara.Katanya keputusan Cuepacs berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.Omar berkata beliau difahamkan terdapat 800 jawatan untuk peringkat SPM telah ditawarkan kepada pemegang ijazah sarjana muda.Sementara itu Ali berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh beliau diharap dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.Beliau berkata pendekatan tersebut lebih berkesan kerana dapat melihat keadaan sebenar berbanding hanya bergantung kepada laporan pegawai di peringkat tempatan.Ali juga berharap Cuepacs yang memperjuangkan nasib penjawat awam supaya dapat berkongsi pandangan atau pendapat dan tidak merasakan wujud sebarang kekangan antara beliau dan kongres itu. - Bernama
Perintah Gaji Minimum Diwarta Hari Ini
16 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Perintah Gaji Minimum 2012 yang diwartakan hari ini, akan berkuatkuasa pada 1 Jan depan bagi majikan yang menggaji enam orang atau lebih.
Bagi majikan yang menggaji lima pekerja atau kurang, tarikh penguatkuasaan ditetapkan 1 Julai tahun depan, demikian menurut satu kenyataan Kementerian Sumber Manusia.
"Tarikh permulaan kuatkuasa ini juga terpakai kepada majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) tanpa mengira bilangan pekerja," menurut kenyataan itu.
Perintah Gaji Minimum 2012 diwartakan mengikut Subseksyen 23(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Maklumat lanjut mengenai warta bertajuk Perintah Gaji Minimum 2012 P.U. (A) 214/2012 boleh dirujuk di www.federalgazette.agc.gov.my.
Menurut warta itu, kadar gaji minimum yang ditetapkan ialah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 atau RM3.85 sejam bagi Sabah dan Sarawak. - Bernama
Kebakaran di Iowa, US | 17 pelajar Malaysia tinggal sehelai pinggang
KUALA LUMPUR: Sebanyak lima rumah pelajar Malaysia di sebuah pangsapuri di South Meadow Apartments, di banda raya Ames, Iowa, Amerika Syarikat, terbabit dalam kebakaran awal pagi kelmarin.
Jurucakap Wisma Putra berkata, kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku akibat litar lintas menyebabkan lima kediaman dihuni 17 pelajar Malaysia musnah terbakar tetapi tiga pelajar yang berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian, berjaya menyelamatkan diri.
Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat mengenai kejadian itu dan tiada pelajar Malaysia cedera atau mengalami kemalangan jiwa berikutan ramai pelajar tiada di rumah kerana sedang bercuti.
“Sehingga kini kita dimaklumkan tiada pelajar cedera dan jumlah kerugian membabitkan harta benda pelajar yang tinggal di kediaman itu masih belum diketahui.
“Kebakaran berlaku akibat litar pintas dan berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, melalui laman misgonline.com, Naib Presiden 2 Kumpulan Kajian Islam Malaysia (MISG) di Amerika Utara, Wan Khalil Wan Ahmad menulis, kebakaran terbabit berlaku di kawasan perumahan Iowa State University bermula jam 5.30 pagi sehingga 1 tengah hari.
Menurutnya, berikutan kejadian itu 17 pelajar Malaysia kehilangan tempat tinggal, harta benda serta barang berharga dan MISG melancarkan Tabung Bencana MISG bagi membantu meringankan beban pelajar yang terbabit.
Jangan guna nama "Bufet Ramadhan" sesuka hati
KUALA LUMPUR: “Perkataan bufet Ramadan dalam konteks bahasa menunjukkan kepada halal. Jadi perkataan itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kecuali mempunyai sijil halal,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di sini, semalam.
Beliau ditanya mengenai pemantauan kerajaan ke atas penganjur bufet dan restoran sepanjang Ramadan ini.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 penggunaan perkataan Ramadan itu diklasifikasikan sebagai halal.
“Dari segi perbahasan, jika bahasanya itu halal, mesti memiliki sijil halal seperti bufet Ramadan yang dibuat di hotel.
“Walaupun tiada nama halal, tetapi nama bufet Ramadan itu dari segi perbahasannya adalah halal dan mereka perlu pohon sijil halal,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan, di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.
Penganjuran majlis itu bagi memberi kefahaman berhubung ibadah puasa serta amalan yang patut dilakukan umat Islam sepanjang Ramadan selain memberi penjelasan dan penyelesaian terhadap permasalahan sepanjang menjalani ibadah puasa.
Sementara itu, Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM2.6 juta kepada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sebagai bantuan Ihya’ Ramadan dan keceriaan sepanjang bulan itu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM1.51 diperuntukkan untuk Ihya’ Ramadan manakala selebihnya bantuan keceriaan masjid.
“Sebanyak RM10,000 diberi kepada 72 masjid, RM6,500 kepada 87 surau Jumaat dan RM3,000 disalurkan kepada surau.
“Sumbangan ini diharap memberi seribu erti kepada masjid dan surau di peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya
Lihat Anak Bulan Hari Khamis | 19 Julai 2012
KUALA LUMPUR: Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Khamis ini.Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, 30 tempat di seluruh negara ditetapkan bagi tujuan itu.
Antara tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.
Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.
Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - Bernama
Monday, July 16, 2012
Tuesday, July 10, 2012
Pengawal Peribadi Raba Penyanyi Dipecat
Rumors mengatakan seorang pengawal peribadi telah dipecat setelah beliau beberapa kali meraba payudara seorang penyanyi perempuan Lebanon yang cun, Haifa Wehbe yang juga bosnya!
Keadaan pada waktu tidak terkawal ketika penyanyi tersebut mahu ke kenderaannya setelah persembahan.
Dalam kekalutan itu, pengawal peribadinya didapati memeluk penyanyi tersebut sambil tangannya berada pada bahagian payudara. - Dunia Itu
Thursday, July 5, 2012
RON97 turun lagi 20 sen - 5 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keputusan menurunkan harga tersebut berikutan purata harga minyak di pasaran bagi Jun 2012 telah menurun.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 bagi Julai 2012 bermula esok.
Harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apungan terkawal di mana harga bulanannya akan diubah mengikut harga pasaran, katanya.
Kerajaan sebelum ini menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.80 pada 6 Jun lepas. - Bernama
Bernama nafi keluarkan berita mengenai bonus kakitangan kerajaan
Kerajaan bersetuju membayar bonus kakitangan awam sempena Hari Raya Aidilfitri 2011 iaitu setengah bulan gaji @ minimum RM500.
Buat pesara kerajaan, mereka akan menerima bayaran khas sebanyak RM500.
Pembayaran bonus dan bayaran khas ini akan di buat pada pertengahan Ogos 2011 ini.
-ini petikan berita tahun lepas..... adoiyai.. sapa la wat lawak sungguh syahdu duk forward cerita tahun lepas neh...
KUALA LUMPUR: BERNAMA tidak mengeluarkan berita yang melaporkan kononnya kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada semua penjawat awam untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini, kata Ketua Pengarangnya, Datuk Yong Soo Heong.
Berita palsu itu disiarkan Isnin lalu dalam sebilangan akaun Facebook selepas mereka yang tidak bertanggungjawab itu menampalkannya pada satu halaman portal berita "myMetro", untuk membuatkannya kelihatan sahih.
"Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pengguna siber yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
"Sementara BERNAMA sentiasa bersyukur apabila semua berita kami diakui dan diiktiraf, tapi ianya bukan sesuatu yang lucu apabila nama kami disalahguna," katanya.
Yong berkata, satu laporan polis akan dibuat hari ini. - BERNAMA
Wednesday, July 4, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)