KULIM - Enam daripada 37 pekerja warga asing sebuah kilang di sini dicederakan oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang panjang yang masuk ke asrama mereka kira-kira jam 2.30 pagi.
Selain diugut untuk dibunuh sekiranya cuba melarikan diri, pekerja warga asing itu turut diikat.
Mereka yang tercedera dilaporkan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melarikan diri melalui pintu hadapan asrama, bagaimanapun ditetak suspek di bahagian badan dan kepala.
Difahamkan, melihatkan keadaan suspek yang agresif, kesemua mangsa yang berada dalam asrama itu mengambil keputusan membiarkan tindakan kumpulan itu yang mahu menyamun.
Seorang mangsa warga Bangladesh, Robiul berkata, ketika kejadian dia sedang tidur, sebelum terdengar suara seperti pertengkaran.
Menurutnya, apabila terbangun, dia mendapati tujuh lelaki bersenjatakan parang ada di dalam asrama. “Empat dari mereka suspek terlibat bertopeng manakala tiga lagi tidak. Mereka masuk ke asrama pekerja dan mencederakan sesiapa sahaja yang cuba melarikan diri dan melawan.
Mereka merampas telefon bimbit, wang tunai dan pasport kami. “Ada beberapa kawan lain warga Nepal cuba melawan bagaimanapun mereka ditetak dan alami pendarahan yang banyak. Kumpulan itu berada di sini kira-kira 20 minit sebelum kesemua mereka lari,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, PPKM mendapat maklumat orang ramai kira-kira jam 2 pagi dan mengarahkan beberapa ahli yang membuat rondaan pergi ke tempat kejadian.
Menurutnya, apabila tiba di kilang terlibat, ahli PPKM dimaklumkan kumpulan lelaki bersenjatakan parang telah menceroboh asrama pekerja kilang itu.
Eng Khim kemudiannya meminta bantuan semua ahli PPKM untuk pergi ke lokasi kejadian sebelum menghubungi polis.
“Ahli PPKM kemudiannya masuk ke asrama pekerja dan mendapati ada kalangan mereka yang diikat dan tercedera. Saya kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan ambulan.
“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa keluar dari asrama dan berkumpul di hadapan pondok pengawal kilang. Saya mengarahkan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian untuk membuat rondaan sekitar kilang untuk mengesan suspek. PPKM menemui kesan pagar kilang dipotong dipercayai tempat di mana suspek masuk dan melarikan diri,” katanya.
Kesemua mangsa yang tercedera dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395 samun berkawan/ 397 samun bersenjata.
“Polis percaya mereka terlibat kejadian ini merupakan suspek sama dan pernah ditahan sebelum ini. Bagaimanapun polis akan menyiasat kes ini dan menahan suspek dalam masa terdekat,” katanya.
Hot Minggu Ini
Tuesday, July 17, 2012
Samun: Enam pekerja diikat, ditetak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment