Tuesday, July 17, 2012

Jangan guna nama "Bufet Ramadhan" sesuka hati

KUALA LUMPUR: “Perkataan bufet Ramadan dalam konteks bahasa menunjukkan kepada halal. Jadi perkataan itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kecuali mempunyai sijil halal,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di sini, semalam.
Beliau ditanya mengenai pemantauan kerajaan ke atas penganjur bufet dan restoran sepanjang Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 penggunaan perkataan Ramadan itu diklasifikasikan sebagai halal.
“Dari segi perbahasan, jika bahasanya itu halal, mesti memiliki sijil halal seperti bufet Ramadan yang dibuat di hotel.

“Walaupun tiada nama halal, tetapi nama bufet Ramadan itu dari segi perbahasannya adalah halal dan mereka perlu pohon sijil halal,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan, di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Penganjuran majlis itu bagi memberi kefahaman berhubung ibadah puasa serta amalan yang patut dilakukan umat Islam sepanjang Ramadan selain memberi penjelasan dan penyelesaian terhadap permasalahan sepanjang menjalani ibadah puasa.
Sementara itu, Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM2.6 juta kepada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sebagai bantuan Ihya’ Ramadan dan keceriaan sepanjang bulan itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM1.51 diperuntukkan untuk Ihya’ Ramadan manakala selebihnya bantuan keceriaan masjid.

“Sebanyak RM10,000 diberi kepada 72 masjid, RM6,500 kepada 87 surau Jumaat dan RM3,000 disalurkan kepada surau.

“Sumbangan ini diharap memberi seribu erti kepada masjid dan surau di peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya

No comments: