Perpustakaan Raja Tun Uda dibina menghadap sebuah tasik di Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13, Shah Alam dan menjadi mercu tanda Selangor, sebuah negeri maju seperti yang diilhamkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiap pengunjung yang datang pastinya akan merasai pengalaman baru yang tidak boleh dilupakan. Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, ia bukan sahaja bertindak sebagai pusat ilmu, malah kemudahan yang disediakan juga membolehkan setiap pengunjung beriadah serta berhibur bersama seisi keluarga.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, pihaknya menekankan konsep pendidikan dan hiburan selari dengan temanya Perpustakaan Rumah Keduaku. Idea tersebut hadir setelah pihaknya mengadakan lawatan ke Singapura dan Hong Kong.
“Hasil lawatan kami ke Singapore Science Centre dan Singapore Discovery Centre membawa idea bagi mendapatkan bahan pendidikan interaktif,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya turut melihat pada kehendak trend masyarakat kini yang mana kebanyakannya suka belajar di restoran makanan segera seperti McD dan KFC.
“Kami juga pergi ke kedai buku ternama seperti MPH, Kinokuniya dan Borders. Apa yang kami fikiran ialah kami cuba gabungkan semua menjadi satu. Kami nampak akan suasana yang ceria itu lalu membawanya ke perpustakaan,” katanya.
Didik pengguna
Mastura berkata, terdapat lebih 200,000 buku dengan beberapa kemudahan lain seperti perkhidmatan multimedia dan Internet, gimnasium, dewan serba guna, auditorium, bilik seminar dan panggung enam dimensi (6D) dan tiga dimensi (3D) yang boleh dimanfaatkan oleh setiap pengunjung.
“Perpustakaan ini turut menyediakan kafeteria yang menyajikan pelbagai hidangan menarik dengan kadar harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, lagi menarik, pihaknya turut menyediakan bahagian khas untuk pengguna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dengan sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya merayu agar ibu bapa yang menghantar anak mereka ke perpustakaan supaya sentiasa berkelakuan baik dan sopan.
“Kami menciptanya dalam keadaan santai supaya mereka berasa relaks. Tetapi tolonglah mendidik anak kita supaya menjaga harta perpustakaan seperti harta sendiri,” katanya ketika menjawab aduan sebahagian ibu bapa mengenai tahap ‘kebisingan’ di perpustakaan.
Berdasarkan kepada perkara tersebut, pihaknya meminta agar ibu bapa tidak sensitif sekiranya pihaknya ada menegur anak mereka yang bertujuan untuk mendidik.
Oleh itu, katanya, jalan penyelesaian yang diambil adalah dengan membina satu tempat senyap bagi bahagian kanak-kanak supaya mereka fokus dalam pembacaan.
Selain itu, Mastura berkata, apabila pihaknya dapat mendidik pengguna supaya menjaga perpustakaan ini seperti rumah sendiri, maka pihaknya juga akan menambahkan lagi pelbagai kemudahan untuk mereka.
Dalam pada itu, katanya, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyumbang kira-kira 1,200 naskhah buku yang diimport dari Britain dengan judulnya dipilih sendiri oleh baginda.
“Baginda suka pada buku yang berbentuk biografi kepimpinan malah baginda juga berkenan membenarkan buku yang didermakan itu diberi pinjam kepada ahli perpustakaan tanpa mengira harganya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga telah dijemput untuk melawat perpustakaan baginda di Putrajaya.
“Baginda sangat menjiwai buku dan boleh digelar sebagai ulat buku. Koleksi baginda terlalu banyak dan bagus sehinggakan sejarah mengenai Selangor pada 1700 dan 1800 pun ada siap dengan gambarnya sekali,” katanya.
Bagi memelihara kesejahteraan pada buku sejarah tersebut, pihak perpustakaan akan mulakan aktiviti pendigitalan secara berperingkat.
Pendaftaran percuma
Sementara itu, Mastura berkata, baru-baru ini, Sultan Sharafuddin telah menitahkan kepada pihaknya supaya perpustakaan ini dibuka waktu malam terutamanya pada hari minggu.
“Kini, ia dibuka kepada orang awam bermula jam 9.30 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu dan Ahad pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari cuti umum,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, mulai 1 September ini pihaknya akan melanjutkan masa sehingga 7 malam untuk hari bekerja manakala hingga jam 9 malam untuk hari minggu. Selain itu, keahlian Perpustakaan Raja Tun Uda terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pendaftarannya adalah percuma.
“Buat masa ini, perpustakaan ini mempunyai seramai 994,000 ahli dan berita baik bagi ahli yang ke-1,000,000 kerana kami berhasrat untuk menghadiahkan sebuah iPad kepada mereka yang bertuah,” katanya.
Beliau juga berharap agar setiap pemimpin melihat perpustakaan sebagai satu tempat pencegahan gejala sosial dan bukanlah sebagai satu agensi yang membebankan.
“Tetapi, alangkah bagusnya, sekiranya, pembentukan masyarakat berilmu dan penuh berkemahiran dimulakan seawal mungkin. Jadi, perpustakaan perlu ‘bangun’ dan transformasi perlu dilakukan kerana itu adalah satu tanggungjawab,” katanya.
Hot Minggu Ini
Tuesday, July 17, 2012
Hormati budaya di perpustakaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment