Tuesday, July 17, 2012

Kebakaran di Iowa, US | 17 pelajar Malaysia tinggal sehelai pinggang

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima rumah pelajar Malaysia di sebuah pangsapuri di South Meadow Apartments, di banda raya Ames, Iowa, Amerika Syarikat, terbabit dalam kebakaran awal pagi kelmarin.
Jurucakap Wisma Putra berkata, kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku akibat litar lintas menyebabkan lima kediaman dihuni 17 pelajar Malaysia musnah terbakar tetapi tiga pelajar yang berada dalam rumah berkenaan ketika kejadian, berjaya menyelamatkan diri.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat mengenai kejadian itu dan tiada pelajar Malaysia cedera atau mengalami kemalangan jiwa berikutan ramai pelajar tiada di rumah kerana sedang bercuti.
“Sehingga kini kita dimaklumkan tiada pelajar cedera dan jumlah kerugian membabitkan harta benda pelajar yang tinggal di kediaman itu masih belum diketahui.

“Kebakaran berlaku akibat litar pintas dan berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, melalui laman misgonline.com, Naib Presiden 2 Kumpulan Kajian Islam Malaysia (MISG) di Amerika Utara, Wan Khalil Wan Ahmad menulis, kebakaran terbabit berlaku di kawasan perumahan Iowa State University bermula jam 5.30 pagi sehingga 1 tengah hari.

Menurutnya, berikutan kejadian itu 17 pelajar Malaysia kehilangan tempat tinggal, harta benda serta barang berharga dan MISG melancarkan Tabung Bencana MISG bagi membantu meringankan beban pelajar yang terbabit.

No comments: