Hot Minggu Ini

Wednesday, August 15, 2012

Keluarga Mualaf 16 Orang Anak Terima Bantuan Selebriti

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya Aidilfitri ini, semua 16 anak pasangan mualaf Siti Nur Faizah Abdullah, 43, dan Junatal Asah, 45, akan beraya dengan pakaian baru sumbangan insan prihatin yang mahu membantu, sekali gus menceriakan hati mereka.
Meskipun ada antaranya perlu diperbaiki kerana tidak memenuhi ukuran badan, namun keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak berusia 21 hingga tiga tahun itu kerana tak perlu lagi menyarung pakaian lusuh atau terpakai pada pagi Aidilfitri nanti. Siti Nur Faizah ketika dihubungi berkata, dia terkejut didatangi seorang selebriti semalam yang membelikan pakaian baru untuk anaknya kerana tidak menyangka ada insan yang masih luhur budi dan ingin membantu meskipun awalnya sukar untuk memilih pakaian pada saat akhir Ramadan.

“Saya memang terkejut. Insan ini berstatus selebriti yang tak mahu didedahkan. Selepas kisah kami keluar akhbar Isnin lalu, dia ada datang bersama pembantunya mengambil ukuran badan anak-anak yang ketika itu hanya ada 15 orang saja untuk dibeli baju raya.
“Tetapi, mungkin sukar untuk penuhi ukuran, ada antara anak saya tidak muat memakai pakaian berkenaan. Namun, ia bukanlah masalah besar kerana masih sempat lagi untuk ditukar atau dibetulkan mana yang sesuai.

“Cuma, saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau yang menceriakan hati anak. Mereka gembira sangat dengan pemberian ini. Ada juga yang beri mainan walaupun terpakai, tapi beri makna besar kepada si kecil yang dah lama mahukannya,” katanya.

Jelasnya lagi, di sebalik sokongan dan sumbangan orang ramai, dia tidak nafikan ada pihak tertentu yang mencercanya kerana menganggap sengaja menjadi ‘pengemis media’ dan memandang rendah maruah keluarganya.
Katanya, tohmahan begitu sukar diterima, namun bersyukur kerana suaminya sentiasa bersikap positif dan mahu mereka sekeluarga menganggapnya sebagai suatu ujian dari Allah SWT.

“Bukan niat saya untuk menjaja cerita apatah lagi menagih simpati. Saya tidak meminta tetapi jika orang berniat memberi dan membantu secara ikhlas, kami juga tak mahu menghampakan hati mereka.
“Terlalu berat tohmahan yang diberikan, namun saya tahu saya perlu bersabar. Kami sekeluarga harus kuat,” katanya.

Sementara itu, Badan Khairat New Straits Times Press (NSTP) dengan kerjasama Harian Metro sejak semalam sudah mewujudkan tabung khas untuk kakitangan NSTP menyumbang kepada keluarga Siti Nur Faizah dan Junatal.

Setiausahanya, Zamanuddin Jusoh, berkata sudah lebih RM1,000 dikumpul dan angkanya terus meningkat apabila ramai kakitangan NSTP prihatin dengan nasib golongan memerlukan.

No comments: